Kerjaya kelab Timothy Castagne

Kerjaya awal

Dilahirkan di Arlon, Belgian Luxembourg, Castagne mula bermai bola sepak untuk kelab tempatan, US Waltzing dan Lorrain Arlon sebelum beliau berpindah ke akademi Virton, kelab paling utama di wilayah tempat lahirnya.[4] Castagne seterusnya berlatih dengan pasukan belia Standard Liège selepas beliau masuk ke sebuah sekolah asrama berhampiran kelab itu. Namun, beliau tetap bermain di Virton pada masa hujung minggu.[5]

Genk

Pada tahun 2011, Castagne berpindah ke Genk selepas Standard mengambil keputusan untuk tidak merekrut beliau.[6] Pada Jun 2013, beliau telah menandatangani kontrak selama tiga tahun di Genk. Pada Januari 2014, jurulatih Genk iaitu Mario Been menyenaraikan beliau ke dalam kem latihan skuad utama selepas beliau mempamerkan persembahan yang memuaskan. Dengan itu, beliau termasuk dalam skuad utama untuk saki-baki musim.[7] Beliau melakukan penampilan sulungnya di Liga Pro Belgium di bawah kendalian jurulatih baru, Alex McLeish pada 14 September 2014 dalam aksi menentang Club Brugge.[8] Pada 2 Mei 2015, Castagne menjaringkan gol sulungnya di peringkat senior dalam satu aksi persahabatan.[9]

Atalanta

Pada Julai 2017, Castagne menyertai kelab Serie A, Atalanta melalui perpindahan bernilai 6 juta euro[10] selepas Andrea Conti pergi meninggalkan Atalanta ke Milan.[11][12] Beliau menjaringkan gol sulungnya untuk pasukan pada 2 Januari 2018 dalam aksi Coppa Italia menewaskan Napoli.[13]

Selepas menyesuaikan diri pada musim pertamanya,[14] permainan Castagne begitu meningkat pada separuh pertama musim keduanya di Atalanta.[15] Pada 27 Ogos 2018, beliau menjaringkan gol pertamanya di Serie A ketika aksi menentang Roma.[16] Sambil bergandingan dengan Hans Hateboer di bahagian sayap kanan, beliau menjaringkan empat gol liga di Serie A.[17][18][19]

Pada tahun berikutnya, beliau terus bergandingan dengan Hateboer, di mana beliau menjaringkan dua gol dalam semua kejohanan. Pada 22 September 2019, beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-95 permainan ketika menentang Fiorentina sekali gus mengikat perlawanan seri 2-2.[20] Jaringan keduanya pula hadir ketika saingan Liga Juara-Juara Eropah semasa beliau menjaringkan gol sulung dalam aksi menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0 sekali gus membolehkan pasukannya menempah tiket ke pusingan 16.[21]

Sepanjang tiga tahun di Atalanta, Castagne telah melakukan 96 penampilan dan menjaringkan 8 gol dalam semua kejohanan.[22] Perpisahan beliau dengan Atalanta telah didorong oleh faktor hubungannya yang tidak menentu dengan jurulatih Gian Piero Gasperini.[23]

Leicester City

Pada 3 September 2020, Castagne akhirnya melengkapkan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City dengan menandatangani kontrak selama 5 tahun.[24] Pada 13 September 2020, beliau menjaringkan gol sulungnya untuk Leicester City pada aksi menewaskan West Bromwich Albion 3-0 sekali gus menjadikan beliau sebagai pemain Belgium kelima yang menjaringkan gol pertama pada aksi sulung di Liga Perdana, selepas pemain Luc Nilis, Thomas Vermaelen, Christian Benteke dan Leandro Trossard.[25]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Timothy Castagne http://static.belgianfootball.be/project/publiek/j... http://static.e-kickoff.com/project/publiek/jrinte... http://www.goal.com/it/notizie/calciomercato-atala... http://www.national-football-teams.com/v2/player.p... http://www.soccerway.com/players/%7B%7B%7Bid%7D%7D... http://www.atalanta.it/site/paginalive/comunicati-... http://www.football-italia.net/105370/official-ata... https://www.hbvl.be/cnt/aid1514414 https://www.standaard.be/cnt/dmf20150502_01660323 https://lameuse-luxembourg.sudinfo.be/272540/artic...